Thursday, February 23, 2012

Diari Latihan Mengajar #1



Saya adalah seorang guru pelatih yang bakal menamatkan pengajian dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Semester ini adalah semester terakhir untuk saya. Semester ini jugalah semester yang sangat-sangat penting untuk saya kerana sekarang saya sedang menjalani latihan mengajar.

Hari ini adalah hari keempat latihan mengajar saya.

Hari keempat. HARI KEEMPAT. Macam tak percaya.

Satu benda yang saya dapat simpulkan daripada empat hari pertama praktikum - apa yang dibaca di dalam buku tidak semestinya menggambarkan apa yang ada di luar sana.



Monday, February 13, 2012

Puisi - Buat Seorang Sahabat Yang Masih Merasa Sakitnya Sebuah Kehilangan.


(saya tidak pintar bermain dengan kata-kata. saya tidak pandai bersilat lidah. saya cuma ingin meluahkan apa yang terbuku di dalam jiwa)

kau dan aku
dua manusia berbeza
dua jasad yang tidak sama
dua minda tidak serupa
dua hati berasingan wujudnya

kau dan aku
punya persoalan tersendiri
punya masalah tersendiri
punya kenangan pahit manis tersendiri

sedang kau menderita kesakitan
aku juga mengeluh keperitan
cuma...sakit perit pedih kita
berbeza
berlainan sifatnya

membuatkan aku takut kiranya
kita pentingkan diri sendiri tanpa sedar
hanya mampu melihat kesakitan sendiri
hingga kita menjadi buta
terhalang dari melihat
orang-orang lain yang juga sedang mengaduh kesakitan
biarpun berbeza bentuknya
ah, hakikatnya kesakitan tetaplah menyeksakan.

teman
kita sama-sama menderita
namun jangan kau fikir aku akan biarkan kau menangis sendiri
walau kelakuanku terlihat seolah tidak mengambil tahu
diamku bukan bererti aku tidak peduli
hulurkan tanganmu
dan kau sambutlah tanganku
mari kita bersama-sama
saling mengubati luka
saling berusaha hapuskan duka



Saturday, February 11, 2012

Kahwinlah Cepat Weh, Aku Nak Jugak Ada Anak Buah - Statement Adik Aku.


Cerita ni dah lama dah pun, bulan 12 tahun lepas. Ini terjadi masa kenduri kahwin sepupu aku Fifi.

Si Fifi ni sepupu aku sebelah ayah. Ayah dia abang kepada ayah aku. Bila dia dah kahwin, maknanya dah lima orang sepupu aku kahwin. Sepupu-sepupu yang kahwin sebelum si Fifi, first sekali abang dia Izam, lepas tu Pong dengan Ujie (adik beradik, ni sepupu lain pulak, ayah aku ada ramai jugak adik beradik), lepas tu Jilah (sepupu lain jugak). Diorang ni semuanya dah ada anak. Izam tu dah ada dua orang anak pun.

Waktu kenduri kahwin Fifi ni adalah bapak-bapak dan ibu-ibu berempat ni. Bila diorang ni ada, anak-anak diorang mestilah ada. Kami memang tak menang tanganlah, mana nak buat kerja-kerja dapur lagi, nak layankan budak-budak ni lagi. (dah nama sedara sendiri menikah, takkanlah kami tak turun padang tolong-tolong apa yang patut kan. takkan datang makan je)

Tiba-tiba je adik aku si Mimi ni kata macam ni:

"Kak, kau bila nak kahwin?"

*muka macam baru tercekik tulang, terkejut beb!* "Tak ada angin, tak ada hujan, kau tanya aku macam ni tiba-tiba je kenapa?" - jawapan aku.

"Kau kahwin la cepat weh. Cuba kau tengok, diorang sedap je dapat main dengan anak buah. Aku nak jugak rasa keseronokan ada anak buah ni. Kau kahwin la cepat kak!"

Facepalm. Kepala hotak dia berjambul.

Apa la adik aku ni, kau fikir kahwin ni senang macam kau main kahwin-kahwin masa kecik-kecik dulu tu ke? Ingat jaga baby senang? Waktu kau main-main dengan dia memanglah kau rasa dunia macam kau punya, cuba nanti aku suruh kau basuhkan berak dia ke, basuh kain lampin yang dah penuh dengan taik ke, hah, baru kau tau langit tu tinggi ke rendah. Aku suruh kau sapu lantai pun kau dah bising-bising. Kahkahkah!

p/s Teringat zaman aku jaga adik-adik aku waktu diorang masih baby (aku kecik lagi - baru 8 tahun).Kerja favourite aku - buatkan susu untuk diorang - sebab aku boleh curi-curi makan serbuk susu formula diorang tu...sedap weh! Kahkahkah! Lepas tu kantoi dengan mak - memang sedaplah kena pukul!


Friday, February 10, 2012

Jangan Rasa Diri Kita Ni Dah Pandai Sangat. Kalau Kau Nak Tahu, Inilah Akibat Sombong Tak Hengat!


Aku adalah seorang guru pelatih, atau istilah terkini yang digunakan - pelajar guru. Apa-apalah, asalkan kamu tahu konsepnya.

Sesiapa yang tahu tentang kehidupan akademik seorang pelajar guru pasti tahu bahawasanya pelajar guru dan pengajaran mikro (baca: microteaching) adalah dua entiti yang tidak akan dapat dipisahkan. Aku adalah antara sekian ramai pelajar guru yang perlu memerah keringat, mempersiap diri untuk pengajaran mikro. Semester ini? Pastilah ada. Tambah-tambah lagi sebab aku ni tak lama lagi nak praktikum.

Maaf, melalut-lalut.

Jadi ceritanya bermula di sini - aku sekarang ni tengah bersedia untuk pengajaran mikro (biarlah aku gunakan bahasa Melayu dan berilah aku peluang untuk baiki penguasaan bahasa Melayu aku yang semakin lemah). Major aku Bahasa Inggeris, jadi untuk pengajaran mikro dan pastinya untuk praktikum, aku perlu mengajar subjek Bahasa Inggeris. Untuk budak sekolah rendah lagi.

Aku dah teruja nak rancang aktiviti itu dan aktiviti ini untuk pengajaran mikro. Kira kalau diibaratkan aku tengah menge"bong" (kalau tahu bagus, kalau tak tahu tanya orang, takpun pergi tanya Tuan Haji Google) tu aku memang tengah "high". Sekali sampai masa nak merancang kandungan untuk aku punya rancangan pengajaran...aku memang merancang nak mengajar "Simple Sentences". Sekali tu aku baru sedar, macam mana yang dikatakan "Simple Sentences" tu pun aku dah tak ingat. "Simple Sentences" tu terdiri daripada apa, strukturnya macam mana, aku dah lupa. Ambik kau!

Dalam hati aku, "padan muka kau, mentang-mentang dah nak habis belajar, kau rasa kau dah tak payah terus baca dan baca pasal grammar? Tahulah dah bertahun-tahun belajar! Kau sedar tak, satu buku grammar pun kau tak ada? Ni macam mana nak ajar orang lain ni?"

Aku tau dah nak buat apa dengan baucar buku yang aku tak belanjakan lagi. (Nak beli alat bantu mengajar jugak, apa pun tak beli lagi ni)

Pendek kata, kita ni tak payah nak angkuh sombong bongkak takbur sangatlah.


Wednesday, February 1, 2012

Sketsa Sebabak di Tesco - Ni Yang Aku Cuak Nak Praktikum Ni!



Sketsalah sangat.

Hari tu aku ke Tesco, pegi makan sebab tengah harinya aku tak sempat makan. (Tak sempat waklu! Hanyut depan skrin notebook, ada unblocked wireless punya pasal)

Ceritanya, aku dah ada kat kaunter pembayaran. Kiranya dah nak habis shopping lah konon. Ada dua tiga orang depan aku nak menunggu giliran diorang membayar, jadi aku sempatlah toleh sana toleh sini dulu sementara menunggu giliran aku.

Aku toleh ke belakang, sekali aku nampak ada seorang budak kecil kencing atas lantai dalam Tesco tu. Selamba je dia kencing, depan orang ramai, depan mak bapak dia pulak lagi. Aku tengok memang tak berkelip mata. Mulut memang mengangalah. Terkejut beb! Aku ni terfikirlah, budak ni memang dah tak dapat tahan kencing ke? Dia memang jenis kencing merata ke? Mak bapak dia biarkan je ke?

Nak dijadikan ceritanya lagi, ada rupanya orang yang menunggu giliran dia nak membayar kat belakang aku. Lelaki. Dia nampak jugak budak tu dah kencing. Dan, mungkin jugak sebab dia perasan riak wajah aku yang terkejut gila, dia gelak lepas tu dia cakap kat aku, "boleh tahan jugak budak tu ya?"

Aku pun pandang muka orang tu, sambil aku kata, "tak tahu nak kata apa dah."

Lepas tu lelaki ni pun katalah kat aku lebih kurang macam ni, "kadang-kadang budak ni sengaja buat macam tu. Bukan dia tak tahu kat mana dan bila dia patut kencing. Cara dia nak dapat perhatian mak bapak dia. Cuba awak tengok lagi sekali." Dia macam dapat baca fikiran aku je. Gulp.

Lupa nak beritahu, lelaki yang berborak dengan aku ni lelaki Cina. Budak kecil dengan mak bapak dia tadi pun orang Cina jugak. Aku tak tahu kenapa budak kecil tu dengan selamba badak je kencing merata macam tu, jadi lelaki Cina tu terangkan kat aku. Barulah aku faham. (Ambik kau minah, suka-suka hati je buat tanggapan)

Rupa-rupanya budak kecil tu kencing merata macam tu sebab dia dah berkenan kat satu kereta mainan kat Tesco tu tapi mak bapak dia tak nak belikan.
Jadi, mungkinlah sebab dia tahu mak bapak dia mesti tak suka dia kencing merata, dia buat macam tu. Barulah diorang belikan dia kereta mainan yang dia nak tu. Yelah, kalau diorang bertegas tak nak beli jugak, mahunya budak tu bernyahtinja (konon menjaga tatasusila lah guna istilah ni) kat situ jugak, lagi haru kan?

Lelaki tadi kata lagi, "awak tak kahwin lagi rasanya kan? Sebab tu awak terkejut."

Bukan soal kahwin atau tak kahwin encik, saya ni guru pelatih. Jawabku dalam hati. Di hadapan lelaki itu aku cuma mampu mengukir senyuman. Macam cerpen pulak.

Aku dok bayangkan, tak sampai sebulan lagi aku dah nak pergi praktikum mengajar kat sekolah. Sekolah rendah. Kalau aku kat tempat mak bapak budak tu, aku memang kalutlah. Aku dahlah kalut orangnya. Boleh jadi jugak aku bakal naik hantu. Yelah, aku bukanlah penyabar sangat. Budak seorang ni pun boleh buat aku kalut, nanti pergi sekolah, bukan seorang, berpuluh-puluh orang aku kena jaga. Buatnya kalau aku mengajar tak syok ke apa, lepas tu semua budak tu pakat kencing dalam kelas sebagai tanda protes kat aku, hah, memang suwei lah aku.

Bila difikirkan balik, cerita ni memang menimbulkan tanda tanya besar dalam kepala aku.

1. Nak buat apa kalau ada budak bawah jagaan kita buat macam ni? Nak mengalah dan ikut kehendak dia atau berkeras (lagi dia buat, lagi kita menyinga)? Memanglah soalan ni bunyinya macam bodoh je, tapi kalau betul-betul difikirkan, eh, serba salah nak menjawab tau tak! Kalau kita mengalah, lain kali dia mungkin buat lagi. Tapi kalau kita makin menyinga pun, boleh jadi dia akan buat jugak.

2. Kadang-kadang walaupun kita tahu sebab musabab di sebalik kenapa budak-budak ni kadang-kadang suka meragam, kita masih nak ikutkan marah kita. Aku selalu je macam tu wei. Aku belajar psikologi kanak-kanak (tapi satu subjek je lah pun), jadi sedikit sebanyak aku tahulah kenapa adik lelaki aku kadang-kadang jadi kuat merajuk ataupun tak dengar kata dan ada cara yang lebih baik untuk aku handle dia, tapi aku masih jugak terdorong nak marah-marah. Bukan senang nak kawal marah wei. Tapi itu akulah, kalau korang? Hmm.

Ni aku makin takut nak pegi praktikum ni...tak sampai sebulan lagi dah. Siapa kata kerja jadi cikgu senang, mari sini gantikan aku. Ada berani?