Sunday, March 23, 2014

Di Kakinya Terletak Syurga Buatku




Semalam Abah minta aku urutkan kakinya. Aku yang biasanya malas dan yang biasanya akan mengeluh jika disuruh berbuat kerja seperti itu (ya, aku tahu ini ciri-ciri kesyaitanan, dan aku sedang cuba mengubah tabiat buruk ini) kali ini memenuhi permintaan Abah tanpa banyak soal. 

Ya, mengurut kaki Abah bukanlah perkara luar biasa. Bukannya Abah menyuruh aku makan tanah. 

Cuma kebelakangan ini Abah perlu selalu diurut. Abah tidak lagi sesihat dulu. Tubuh Abah semakin hari semakin kurus. Abah tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat. Untuk mengangkat sebesen air pun dia sudah tidak terdaya. Akulah yang akan mengangkat sebesen air untuk Abah buat mandian setiap malam (jika aku ada di rumah).

Abah minta aku sapukan minyak gamat di kedua-dua belah telapak kakinya, dan aku buat. Abah minta aku urut-urutkan telapak kakinya, dan aku buat. 

Sambil aku mengurut telapak kaki Abah aku berfikir sejenak - selalunya kalau aku disuruh Abah atau Mama berbuat kerja-kerja sebegini, paling tidak aku akan mengeluh, dan sambil membuat kerja yang disuruh, aku mengharapkan agar kerja itu cepat siap dan aku tidak lagi disuruh melakukan kerja-kerja lain. Kadang-kadang aku cuba ikhlaskan diri, tapi sekurang-kurangnya aku mesti mengeluh dalam hati. 

Tidak semalam. Aku tidak mengeluh langsung. Dalam hati pun tidak. Yang aku tahu, apa yang Abah minta aku mesti cuba tunaikan. 

Takkan dalam Abah tengah sakit-sakit aku masih tergamak mementingkan diri? 

Dan aku berfikir lagi, apa sangatlah susahnya mengurut kaki Abah kalau dibandingkan kesusahan Abah dan Mama membesarkan kami adik beradik. Apa sangatlah penatnya menyapu minyak gamat ke kaki Abah kalau dibandingkan penatnya Abah menghadapi kerenah aku yang tidak habis-habis menyusahkan dirinya dengan pelbagai perangai pelik aku dari dulu sampai sekarang. Demi Allah, aku sudah terlalu banyak membuat onar yang memalukan keluarga aku, yang menyusahkan Abah dan Mama. Tidak jarang aku dimarahi dan tidak jarang pula aku melawan, tapi sekalipun mereka tidak berputus asa mengharapkan aku menjadi lebih baik. 

Sambil aku mengurut kaki Abah, aku berkata pada hati, apa sangatlah penat dan susahnya mengurut kedua-dua telapak kaki yang menjamin syurga untuk aku. 

*Lama tidak menulis. Leka mencari diri. Sekarang pun aku masih mencari. Barangkali menulis dapat sedikit sebanyak membantu aku menemukan kembali identiti diri. 




Tuesday, April 30, 2013

Calon isteri mithali konon-kononnya. Isteri mithalilah sangat...



Aku tak fahamlah dengan sesetengah kaum sejenis aku ni. Aku pun perempuan jugak, tapi aku sendiri pun susah nak faham. (Kalau dah aku yang perempuan ni pun tak boleh faham, lelaki lagilah tak faham.)

Wahai cik kak, aku taulah kau nak praktis jadi isteri mithali bila kau dah kawin nanti, tapi agak-agaklah der. Kalau setakat kau nak pegi kedai apek depan rumah nak beli minyak masak sebab minyak masak kat rumah dah habis, takkanlah yang tu pun kau nak mintak izin dengan tawaduknya kat balak kau. Siap telefon lagi kalau tak ada depan mata nak mintak izin. Kalau dia kata dia tak izinkan, alamatnya memang tak berasaplah dapur rumah kau untuk hari tu kot? Hah elok sangat la tu. Lepas tu mak, bapak, adik beradik kau kebulur sebab kau tak masak makan tengah hari. Dah minyak masak takde kan. Buang emak buang saudara, kerana kasih engkau turutkan ke kiranya ni? Tabuh hang sat gi baru hang tau.

Mai sini cik Mas nak habaq sikit naa... (amboi loghat Utagha gitu, tau la dulu duk Penang) Jangan samakan BOYFRIEND dengan SUAMI. Nampak tak? Ejaan pun dah berbeza. Maksudnya dah tentu berbeza. Memang dalam Islam ada bagitau yang syurga isteri itu letaknya pada redha suami, tapi tak ada pula diberitahu yang syurga girlfriend tu letaknya pada redha boyfriend. Cik kak, selagi awak tak kahwin, biarlah awak bercinta dengan boyfie awak tu sampai 100 tahun pun, syurga awak tetaplah terletak pada redha mak ayah.

Kalau dah lupa mari aku ingatkan. Kalau tak tau mari aku bagitau. Dalam banyak hal isteri memang kena mintak izin dari suami, contohnya nak keluar rumah, nak puasa sunat dan sebagainya. Tapi kalau perempuan tu tak kahwin lagi, tak perlu keizinan dari boyfriend kalau nak keluar rumah, tapi perlu mintak izin mak bapak. Amboi, dengan mak bapak yang wajib mintak izin tak nak pulak kau mintak izin? Diorang tak bagi izin pun kau buat derk je. Dengan lelaki yang tak ada ikatan sah apa-apa dengan kau, tak ada ikatan darah tu pulak kau terhegeh-hegeh nak mintak izin? Eh, aku lempang jugak kau ni karang! 

Mari aku tambah info lagi. Dalam sesetengah hal, isteri tidak perlu keizinan suami. Sembahyang fardu 5 waktu, tak perlu izin suami kalau nak buat. Tutup aurat, tak perlu. Dan, duit isteri yang memang asalnya milik si isteri (contohnya duit gaji isteri laa kan kalau isteri bekerja), suami tak ada hak atas duit tu. Tapi aku bengang dengan sesetengah perempuan yang bajet nak jadi isteri mithali, sampaikan nak buat apa dengan duit sendiri pun boyfriend tentukan. Misalnya, si perempuan ni nak beli handphone dengan duit sendiri, tapi tak jadi sebab boyfriend tak kasi. Ya Allah...kalau dia suami kau pun, dia tak ada hak nak tentukan apa yang patut kau buat dengan duit kau. Inikan pula setakat boyfriend. Dia boleh bagi pendapat atau nasihat kalau dia rasa tak sesuai untuk kau guna duit kau macam tu, tapi keputusan letaknya di tangan kau. Kalau kau nak guna duit dia lainlah cerita, logiklah jugak kalau kau nak mintak izin dia kan. Dah duit dia. Kang kau jadi pencuri pulak. 

Dan yang tak kurang pentingnya, untuk calon-calon isteri mithali wannabe ni, cuba korang berfikir sat. Korang rasa berbaloi ke korang "sami'na wa atho'na" (dengar dan taat) pada lelaki yang belum tentu jadi suami korang yang sah? 

"Tapi kami dah bercinta 8 tahun!" Itu kata kau.

Beb, sedangkan yang kawin puluhan tahun pun boleh bercerai. Inikan pula kalau tak ada ikatan yang sah di sisi syara'. Lagipun, jodoh di tangan Tuhan beb. Kau yakin ke boyfriend yang kau agung-agungkan sangat tu, boyfriend yang kau dah layan macam suami tu, boyfriend yang buat kau sanggup tolak mak bapak kau ke tepi tu, akan jadi suami kau? Kau boleh jamin ke? Nanti penat je kau jadi girlfriend mithali, tup-tup clash. 

Kesimpulannya, boyfriend kau, tetaplah seorang yang belum ada apa-apa ikatan sah dengan kau. Utamakan orang yang lebih dekat dengan kau. Nak taat pun, pada orang yang berhak beb. 



Saturday, April 27, 2013

Jadi diri sendiri, sudah.



Kadang-kadang bila lepak dengan orang, aku perasan ada sesetengah orang yang suka boast lebih kurang macam ni: 

"Dulu aku suka clubbing, aku taulah dunia ni macam mana"
"Dulu aku merokok, aku selalu lepak dengan mat gian, aku dah tau dunia ni gelap macam mana" 
"Aku taulah macam mana hidup kat sana, aku selalu lepak dengan bohsia kat sana" 

Lebih kurang macam ni bunyinya. Contoh je laa. Dah tentulah banyak lagi ayat-ayat ala-ala nak boast diri sendiri yang keluar dari mulut orang-orang macam ni. Apa yang aku maksudkan dengan boast ni? Boast dalam erti kata nak tunjuk kat orang yang dia lebih tahu selok belok kehidupan sebab dia dah pernah tonjolkan sisi gelap dia. Alaa, biasanya kita lebih respek orang yang berpengalaman ni kan? Kononnyalah.

Sampai satu tahap, ada orang yang seumur hidup dia tak pernah libatkan diri dengan benda-benda macam ni pun nak cuba ubah diri, nak adapt imej 'bad-boy' kononnya. Bosan asyik dicop skema. Yang ni pun dajal jugak.

Aku pun pernah je buat macam tu (kiranya aku ni pun dua kali lima dajal jugak laa). Dulu aku ni boleh dikatakan skema jugak, sebab aku tak suka mencarut. Kalau setakat 'bodoh' atau 'gila' tu standard ah, tapi mencarut memang aku tak buat. Itu zaman sekolah. Bila aku masuk maktab, bercampur dengan kawan-kawan yang mencarut macam makan nasi, sedikit sebanyak aku pun terikut-ikut. Mana taknya, itu kali pertama aku jauh dari keluarga aku, ditambah dengan ada rasa nak bebas dalam diri aku, aku pun mulalah jadikan carutan tu macam nasi yang aku tak boleh tinggal. Bila aku mula guna carutan, aku rasa macam aku ni dah dewasa, bukan budak kecil yang serba-serbi dilarang. 

Pendek kata, aku memang nak lari dari imej 'budak baik' waktu tu. 

Satu hari, kawan baik aku kat maktab (kawan aku ni lelaki) dengar aku mencarut. Dia ni pun kalau mencarut boleh tahan juga. Tak disangka-sangka, dia marah dengan aku. Marah sebab aku mencarut. Aku pun hairan, kenapa dia marah? Sedangkan dia pun kaki carut jugak. 

Dia kata kat aku lebih kurang begini - "kau fikir aku suka sangat ke mencarut ni? kau fikir mencarut tu best ke? kalau aku boleh berhenti mencarut, dah lama aku berhenti kau tau tak? kau fikir, orang macam aku ni, tak ada rasa nak jadi baik ke?" 

Aku terkejut jugak dengan luahan hati dia, sebab aku fikir, dia selesa dengan imej 'bad boy'.

Cerita ni dah lama, dah 6 tahun berlalu pun. 

Aku terkenang balik cerita ni sebab aku terfikir, kenapa ada orang yang malu sangat dengan imej 'budak baik'? Kalau dulu dia tak pernah buat masalah disiplin kat sekolah, sekarang dia malu. Lagi dia malu bila ada orang yang cop dia skema (kan ada yang kata skema = boring). Semua berebut nak adapt imej 'bad boy'.

Kalau kita malu kita ni tak cukup 'bad' sebab tak cukup 'adventurous' kononnya, jangan fikir tak ada 'bad boy' yang malu dengan imej 'bad boy' yang ada pada dia. Lain orang lain fikiran. Macam cerita aku tadi. 

Pendek kata, jadi diri sendiri, sudah. Tak kiralah apa pandangan orang. Kan?




Saturday, December 8, 2012

Politik #1




Masih jelas di ingatan 4 tahun lepas ketika Pilihanraya Umum berlangsung. Saya yang sehingga detik itu tidak begitu mengambil peduli selok belok politik negara mula mengambil tahu perkembangan terkini politik negara di ketika itu. Terima kasih kepada salah seorang kawan rapat saya yang hidup matinya kerana politik, dialah surat khabar bergerak saya. Heh. Dan terima kasih juga kepada sahabat yang satu ini, saya menjadi penyokong parti pembangkang. Andai saja keizinan untuk pelajar guru berpolitik diberikan pada ketika itu, pastinya saya akan terus bergiat dalam politik tanpa berlengah. 

Tapi, entahlah. Sekarang ini saya lebih rela untuk tidak memihak pada sesiapa. Kerana saya tidak menemukan semangat untuk merubah hala tuju negara ke arah yang lebih baik pada mana-mana pihak pun. Sepertinya mereka lebih berminat untuk mengisi tembolok masing-masing. Sepertinya mereka cuma berminat untuk mengurus benda yang remeh temeh. Saya tidak peduli siapa pun yang meragut teruna Saiful Bukhari, yang saya peduli adalah usaha untuk memperbaik taraf hidup rakyat biasa seperti kita! 

Kerana itu sehingga saat ini saya masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Untuk apa mengundi pihak yang saya tidak percayai kemampuannya? Biarlah tindakan saya dipertikai. Saya pun pernah dicop sebagai 'tiada pendirian' kerana pendirian saya ini. Lebih baik saya jadi lalang daripada menyokong membuta tuli, kan? 

Dan, siapa kata saya tidak boleh berbakti pada negara andai saya tidak mengundi? Banyak lagi cara yang ada untuk saya selain mengundi. Buat masa ini saya memilih untuk menabur bakti dengan menumpukan perhatian pada 'anak-anak' saya di Pensiangan sana. Segala puji bagi Tuhan yang dengan izin dan takdirNya telah menjadikan saya seorang guru. 

Sehingga saya menemukan semangat memperjuangkan nasib rakyat tanpa prejudis dalam mana-mana parti politik yang ada di Malaysia, saya tidak akan mendaftarkan diri sebagai pengundi. Biar saya kekal sebagai nonpartisan. Lagipun, kesetiaan itu mahal harganya. 




Tuesday, November 27, 2012

Puisi - Cinta?



Aneh.
Sudah lama aku tidak merasa perasaan sebegini.
Bintang di langit ku lihat lebih gemerlapan.
Bulan ku lihat lebih terang bersinar.
Seluruh alam bagai terhenti seketika.
Malam-malamku penuh mimpi dia dan aku.
Wajahnya terbayang-bayang di mata.
Namanya terpahat kukuh dalam jiwa.
Celaka.
Cinta, kau datang lagi?