Sunday, March 23, 2014

Di Kakinya Terletak Syurga Buatku




Semalam Abah minta aku urutkan kakinya. Aku yang biasanya malas dan yang biasanya akan mengeluh jika disuruh berbuat kerja seperti itu (ya, aku tahu ini ciri-ciri kesyaitanan, dan aku sedang cuba mengubah tabiat buruk ini) kali ini memenuhi permintaan Abah tanpa banyak soal. 

Ya, mengurut kaki Abah bukanlah perkara luar biasa. Bukannya Abah menyuruh aku makan tanah. 

Cuma kebelakangan ini Abah perlu selalu diurut. Abah tidak lagi sesihat dulu. Tubuh Abah semakin hari semakin kurus. Abah tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat. Untuk mengangkat sebesen air pun dia sudah tidak terdaya. Akulah yang akan mengangkat sebesen air untuk Abah buat mandian setiap malam (jika aku ada di rumah).

Abah minta aku sapukan minyak gamat di kedua-dua belah telapak kakinya, dan aku buat. Abah minta aku urut-urutkan telapak kakinya, dan aku buat. 

Sambil aku mengurut telapak kaki Abah aku berfikir sejenak - selalunya kalau aku disuruh Abah atau Mama berbuat kerja-kerja sebegini, paling tidak aku akan mengeluh, dan sambil membuat kerja yang disuruh, aku mengharapkan agar kerja itu cepat siap dan aku tidak lagi disuruh melakukan kerja-kerja lain. Kadang-kadang aku cuba ikhlaskan diri, tapi sekurang-kurangnya aku mesti mengeluh dalam hati. 

Tidak semalam. Aku tidak mengeluh langsung. Dalam hati pun tidak. Yang aku tahu, apa yang Abah minta aku mesti cuba tunaikan. 

Takkan dalam Abah tengah sakit-sakit aku masih tergamak mementingkan diri? 

Dan aku berfikir lagi, apa sangatlah susahnya mengurut kaki Abah kalau dibandingkan kesusahan Abah dan Mama membesarkan kami adik beradik. Apa sangatlah penatnya menyapu minyak gamat ke kaki Abah kalau dibandingkan penatnya Abah menghadapi kerenah aku yang tidak habis-habis menyusahkan dirinya dengan pelbagai perangai pelik aku dari dulu sampai sekarang. Demi Allah, aku sudah terlalu banyak membuat onar yang memalukan keluarga aku, yang menyusahkan Abah dan Mama. Tidak jarang aku dimarahi dan tidak jarang pula aku melawan, tapi sekalipun mereka tidak berputus asa mengharapkan aku menjadi lebih baik. 

Sambil aku mengurut kaki Abah, aku berkata pada hati, apa sangatlah penat dan susahnya mengurut kedua-dua telapak kaki yang menjamin syurga untuk aku. 

*Lama tidak menulis. Leka mencari diri. Sekarang pun aku masih mencari. Barangkali menulis dapat sedikit sebanyak membantu aku menemukan kembali identiti diri.