Showing posts with label luahan jiwa. Show all posts
Showing posts with label luahan jiwa. Show all posts

Sunday, March 23, 2014

Di Kakinya Terletak Syurga Buatku




Semalam Abah minta aku urutkan kakinya. Aku yang biasanya malas dan yang biasanya akan mengeluh jika disuruh berbuat kerja seperti itu (ya, aku tahu ini ciri-ciri kesyaitanan, dan aku sedang cuba mengubah tabiat buruk ini) kali ini memenuhi permintaan Abah tanpa banyak soal. 

Ya, mengurut kaki Abah bukanlah perkara luar biasa. Bukannya Abah menyuruh aku makan tanah. 

Cuma kebelakangan ini Abah perlu selalu diurut. Abah tidak lagi sesihat dulu. Tubuh Abah semakin hari semakin kurus. Abah tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat. Untuk mengangkat sebesen air pun dia sudah tidak terdaya. Akulah yang akan mengangkat sebesen air untuk Abah buat mandian setiap malam (jika aku ada di rumah).

Abah minta aku sapukan minyak gamat di kedua-dua belah telapak kakinya, dan aku buat. Abah minta aku urut-urutkan telapak kakinya, dan aku buat. 

Sambil aku mengurut telapak kaki Abah aku berfikir sejenak - selalunya kalau aku disuruh Abah atau Mama berbuat kerja-kerja sebegini, paling tidak aku akan mengeluh, dan sambil membuat kerja yang disuruh, aku mengharapkan agar kerja itu cepat siap dan aku tidak lagi disuruh melakukan kerja-kerja lain. Kadang-kadang aku cuba ikhlaskan diri, tapi sekurang-kurangnya aku mesti mengeluh dalam hati. 

Tidak semalam. Aku tidak mengeluh langsung. Dalam hati pun tidak. Yang aku tahu, apa yang Abah minta aku mesti cuba tunaikan. 

Takkan dalam Abah tengah sakit-sakit aku masih tergamak mementingkan diri? 

Dan aku berfikir lagi, apa sangatlah susahnya mengurut kaki Abah kalau dibandingkan kesusahan Abah dan Mama membesarkan kami adik beradik. Apa sangatlah penatnya menyapu minyak gamat ke kaki Abah kalau dibandingkan penatnya Abah menghadapi kerenah aku yang tidak habis-habis menyusahkan dirinya dengan pelbagai perangai pelik aku dari dulu sampai sekarang. Demi Allah, aku sudah terlalu banyak membuat onar yang memalukan keluarga aku, yang menyusahkan Abah dan Mama. Tidak jarang aku dimarahi dan tidak jarang pula aku melawan, tapi sekalipun mereka tidak berputus asa mengharapkan aku menjadi lebih baik. 

Sambil aku mengurut kaki Abah, aku berkata pada hati, apa sangatlah penat dan susahnya mengurut kedua-dua telapak kaki yang menjamin syurga untuk aku. 

*Lama tidak menulis. Leka mencari diri. Sekarang pun aku masih mencari. Barangkali menulis dapat sedikit sebanyak membantu aku menemukan kembali identiti diri. 




Saturday, December 8, 2012

Politik #1




Masih jelas di ingatan 4 tahun lepas ketika Pilihanraya Umum berlangsung. Saya yang sehingga detik itu tidak begitu mengambil peduli selok belok politik negara mula mengambil tahu perkembangan terkini politik negara di ketika itu. Terima kasih kepada salah seorang kawan rapat saya yang hidup matinya kerana politik, dialah surat khabar bergerak saya. Heh. Dan terima kasih juga kepada sahabat yang satu ini, saya menjadi penyokong parti pembangkang. Andai saja keizinan untuk pelajar guru berpolitik diberikan pada ketika itu, pastinya saya akan terus bergiat dalam politik tanpa berlengah. 

Tapi, entahlah. Sekarang ini saya lebih rela untuk tidak memihak pada sesiapa. Kerana saya tidak menemukan semangat untuk merubah hala tuju negara ke arah yang lebih baik pada mana-mana pihak pun. Sepertinya mereka lebih berminat untuk mengisi tembolok masing-masing. Sepertinya mereka cuma berminat untuk mengurus benda yang remeh temeh. Saya tidak peduli siapa pun yang meragut teruna Saiful Bukhari, yang saya peduli adalah usaha untuk memperbaik taraf hidup rakyat biasa seperti kita! 

Kerana itu sehingga saat ini saya masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Untuk apa mengundi pihak yang saya tidak percayai kemampuannya? Biarlah tindakan saya dipertikai. Saya pun pernah dicop sebagai 'tiada pendirian' kerana pendirian saya ini. Lebih baik saya jadi lalang daripada menyokong membuta tuli, kan? 

Dan, siapa kata saya tidak boleh berbakti pada negara andai saya tidak mengundi? Banyak lagi cara yang ada untuk saya selain mengundi. Buat masa ini saya memilih untuk menabur bakti dengan menumpukan perhatian pada 'anak-anak' saya di Pensiangan sana. Segala puji bagi Tuhan yang dengan izin dan takdirNya telah menjadikan saya seorang guru. 

Sehingga saya menemukan semangat memperjuangkan nasib rakyat tanpa prejudis dalam mana-mana parti politik yang ada di Malaysia, saya tidak akan mendaftarkan diri sebagai pengundi. Biar saya kekal sebagai nonpartisan. Lagipun, kesetiaan itu mahal harganya. 




Tuesday, November 27, 2012

Puisi - Cinta?



Aneh.
Sudah lama aku tidak merasa perasaan sebegini.
Bintang di langit ku lihat lebih gemerlapan.
Bulan ku lihat lebih terang bersinar.
Seluruh alam bagai terhenti seketika.
Malam-malamku penuh mimpi dia dan aku.
Wajahnya terbayang-bayang di mata.
Namanya terpahat kukuh dalam jiwa.
Celaka.
Cinta, kau datang lagi?


Saturday, November 3, 2012

Puisi - Cukuplah.



Sudah, cukuplah.
Jangan kau paksa aku mengikut acuanmu.
Butakah matamu untuk membezakan yang mana manusia dan yang mana patung yang tiada bernyawa?
Kaburkah deria penglihatanmu sehingga aku kau pandang seperti robot yang menunggu arahan tuannya?

Sudah, cukuplah.
Jangan kau letakkan maruah aku ke tahap yang serendah itu.
Maha Suci Tuhan, Yang Menciptakan kita hampir serupa namun sebenarnya sangat unik dan berbeza.
Tenung wajahmu dalam cermin dan tanya dirimu, setarafkah kau dengan Dia Yang Maha Kuasa?

Sudah, cukuplah.
Jangan lagi libatkan aku dalam drama ciptaanmu.
Tinggalkan aku, biarkan aku bahagia, biarkan aku menerima diriku seadanya.
Dan kau,
teruskan sahaja dengan agendamu untuk kelihatan sempurna di hadapan semua.
Semoga saja suatu hari nanti Dia celikkan mata hatimu yang telah buta.
Dan semoga saja tidak terlalu lewat untuk kau bangun dari lena.




Friday, July 27, 2012

Lelaki Alim-alim Kucing


Kau nak bakal bini kau jaga aurat.
Jaga tingkahlaku.
Jaga pandangan.
Jaga maruah.
Lelaki lain cuba usha, kau marah.

Tapi kau sendiri pun...
Usha awek baju sendat seluar ketat.
Buat phone sex.
Tengok porno.
Mata meliar atas bawah tengok perempuan.
Sambil-sambil buat komen serupa orang tak sekolah.

"Nasi lemak 50 sen dowh!"
"Pergh, kalau aku dapat, seminggu tak keluar rumah..." 

Pernah dengar tak orang kata, jangan mengharap isteri macam Fatimah r.a kalau kau tak sesempurna Ali r.a? 




Monday, February 13, 2012

Puisi - Buat Seorang Sahabat Yang Masih Merasa Sakitnya Sebuah Kehilangan.


(saya tidak pintar bermain dengan kata-kata. saya tidak pandai bersilat lidah. saya cuma ingin meluahkan apa yang terbuku di dalam jiwa)

kau dan aku
dua manusia berbeza
dua jasad yang tidak sama
dua minda tidak serupa
dua hati berasingan wujudnya

kau dan aku
punya persoalan tersendiri
punya masalah tersendiri
punya kenangan pahit manis tersendiri

sedang kau menderita kesakitan
aku juga mengeluh keperitan
cuma...sakit perit pedih kita
berbeza
berlainan sifatnya

membuatkan aku takut kiranya
kita pentingkan diri sendiri tanpa sedar
hanya mampu melihat kesakitan sendiri
hingga kita menjadi buta
terhalang dari melihat
orang-orang lain yang juga sedang mengaduh kesakitan
biarpun berbeza bentuknya
ah, hakikatnya kesakitan tetaplah menyeksakan.

teman
kita sama-sama menderita
namun jangan kau fikir aku akan biarkan kau menangis sendiri
walau kelakuanku terlihat seolah tidak mengambil tahu
diamku bukan bererti aku tidak peduli
hulurkan tanganmu
dan kau sambutlah tanganku
mari kita bersama-sama
saling mengubati luka
saling berusaha hapuskan duka