Saturday, December 8, 2012

Politik #1




Masih jelas di ingatan 4 tahun lepas ketika Pilihanraya Umum berlangsung. Saya yang sehingga detik itu tidak begitu mengambil peduli selok belok politik negara mula mengambil tahu perkembangan terkini politik negara di ketika itu. Terima kasih kepada salah seorang kawan rapat saya yang hidup matinya kerana politik, dialah surat khabar bergerak saya. Heh. Dan terima kasih juga kepada sahabat yang satu ini, saya menjadi penyokong parti pembangkang. Andai saja keizinan untuk pelajar guru berpolitik diberikan pada ketika itu, pastinya saya akan terus bergiat dalam politik tanpa berlengah. 

Tapi, entahlah. Sekarang ini saya lebih rela untuk tidak memihak pada sesiapa. Kerana saya tidak menemukan semangat untuk merubah hala tuju negara ke arah yang lebih baik pada mana-mana pihak pun. Sepertinya mereka lebih berminat untuk mengisi tembolok masing-masing. Sepertinya mereka cuma berminat untuk mengurus benda yang remeh temeh. Saya tidak peduli siapa pun yang meragut teruna Saiful Bukhari, yang saya peduli adalah usaha untuk memperbaik taraf hidup rakyat biasa seperti kita! 

Kerana itu sehingga saat ini saya masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Untuk apa mengundi pihak yang saya tidak percayai kemampuannya? Biarlah tindakan saya dipertikai. Saya pun pernah dicop sebagai 'tiada pendirian' kerana pendirian saya ini. Lebih baik saya jadi lalang daripada menyokong membuta tuli, kan? 

Dan, siapa kata saya tidak boleh berbakti pada negara andai saya tidak mengundi? Banyak lagi cara yang ada untuk saya selain mengundi. Buat masa ini saya memilih untuk menabur bakti dengan menumpukan perhatian pada 'anak-anak' saya di Pensiangan sana. Segala puji bagi Tuhan yang dengan izin dan takdirNya telah menjadikan saya seorang guru. 

Sehingga saya menemukan semangat memperjuangkan nasib rakyat tanpa prejudis dalam mana-mana parti politik yang ada di Malaysia, saya tidak akan mendaftarkan diri sebagai pengundi. Biar saya kekal sebagai nonpartisan. Lagipun, kesetiaan itu mahal harganya.