Thursday, January 19, 2012

Tentang Amalina Che Bakri dan "pengaruh Barat"


Tertinggal kereta api ke aku? Ah, aku peduli apa.

Pertama kali aku kenal cik Amalina ni bila satu Malaysia dok canang pasal keputusan SPM dia yang memang agak gempak dari orang lain pada waktu tu. Lepas tu boleh kata segala jenis iklan dalam TV tu mesti ada muka dia. Memang popular sangatlah dia waktu tu.

Lepas beberapa lama, tak ada berita dah pasal dia. Oh, tak lama lepas tu ada pula khabar angin konon-konon dia gagal mengaji kat UK. Tapi tak bertahan lama pun.

Tiba-tiba satu hari, waktu aku tengah godek-godek Facebook aku, doom! Keluar berita Amalina dah jauh berubah gara-gara kejutan budaya. Dulu pakai tudung, sekarang tak lagi. Malas aku nak terang lebih-lebih. Mesti kamu semua dah tengok kan? Bukan aku je tau guna Google.

Macam biasalah, bila ada isu-isu macam ni ada yang menyokong, ada yang menentang. Isu etika katakan. Bagi aku, aku tak nafikan, tindakan Amalina untuk tak lagi menutup aurat dah melanggar hukum syarak. Betul. Aku bukan nak galakkan dia untuk terus tak bertudung.

Yang aku tak puas hati, bila ada cerita macam ni, terus nak kaitkan dengan "pengaruh Barat". Sikit-sikit nak kaitkan dengan "budaya luar negara". Kenapa Amalina Che Bakri boleh berubah macam tu? "Pengaruh Barat". "Cara hidup luar negara yang songsang". Aku bukan terlalu naif untuk nafikan pengaruh persekitaran pada cara hidup seseorang. Tidak. Tapi aku tak setuju dengan cara sesetengah orang yang terus menyalahkan pengaruh Barat semata-mata.

Aku tak hairan dengan kebimbangan orang kita sekarang bila nak hantar anak-anak belajar di luar negara. Dulu cerita Sufiah Yusof, sekarang cerita Amalina, macam mana tak risau kan? Tapi adil ke kalau kita main pukul rata? Siapa yang pergi belajar luar negara mesti akan hanyut? Pernah tak kita kaji dalam-dalam kenapa Sufiah boleh jadi sampai macam tu sekali, misalnya? Kita tahu, dia ada sejarah didera secara mental oleh ayahnya. Kalau dia tak lalui pengalaman macam tu, siapa tahu, mungkin dia tak akan tergamak berubah 360 darjah begitu? (Fakta: Ramai bintang pornografi yang pernah didera secara seksual di fasa-fasa awal kehidupan mereka.)

Point aku, antara penyebab terbesar untuk seseorang itu boleh berubah adalah dirinya sendiri. Kalau jiwa dengan minda kita tak cukup kuat, campaklah ke mana-mana pun kita boleh hanyut.

Aku bercakap berdasarkan penelitian dari apa yang aku lihat. Ada kenalan aku yang berubah dari bertudung kepada tak bertudung, dan dia bukanlah belajar di seberang laut pun. Ada juga yang belajar di tempat yang tak jauh pun dari kampung halaman, tapi sejak dia jadi pelajar universiti, dia pun dah agak sosial. Dan aku ada kenalan yang belajar di Australia, bertolak ke Australia sebagai muslimah yang tak bertudung, dan balik ke Malaysia siap bertudung litup.

Aku yakin, bukan sedikit orang kita yang belajar di luar negara, dan ramai antara mereka ni yang tahu menjaga diri. Aku tak nafikan faktor persekitaran sebagai pengaruh ke atas cara hidup kita, tapi jangan faktor yang satu itu sahaja yang diambil kira.

p/s
  • Persepsi orang kita: bila orang yang bertudung dah buka tudung = orang tu dah mula amalkan seks bebas, tak sembahyang, tak bermoral, jual maruah dan sebagainya. Ada kawan aku yang dulunya bertudung sekarang tak bertudung, tapi lain daripada itu, dia masih OK.
  • Ada banyak sebab kenapa orang boleh berubah. Kita kaji, selepas itu fikirkanlah cara dan pendekatan yang sesuai untuk memperbetul keadaan (jika perlu dibetulkan - kalau berubah ke arah yang lebih baik, apa pula yang perlu diperbetul, kan?)
  • Semoga cik Amalina Che Bakri (kita semua juga) berada dalam lindungan Allah.

No comments:

Post a Comment