Thursday, January 12, 2012

Aku Mahu dan Perlu untuk Terus Bergerak ke Hadapan, Tak Kira Apa Pun Caranya

Ini satu benda yang aku baru belajar dan aku baru faham. Dah selalu dengar orang cakap benda macam ni, tapi selalunya aku anggukkan kepala je. Faham tak faham belakang kira. Ada hati nak mengaku diri sendiri pemikir. Mendengar pun tidak. Cis!

Aku banyak buat silap sepanjang hidup aku ni. Banyak sangat. Satu di antara sekian banyaknya kesilapan yang aku buat adalah - terus berada di takuk lama. Aku tak ada usaha nak majukan diri aku. Aku tahu aku ada banyak benda yang aku masih belum berupaya untuk lakukan - tapi aku tak berusaha untuk belajar. Aku malahan terus-terusan mengeluh tentang ketidakupayaan aku. Dan yang paling dajal sekali - aku masih terperangkap dalam bayangan masa silam aku.

Cukuplah untuk aku beritahu di sini, untuk sesiapa yang kenal aku secara peribadi, pengalaman masa lalu aku banyak membentuk diri aku macam yang kamu kenali ni. Dan aku meminta maaf pada kamu semua sebab aku terus-terusan menyalahkan keadaan tapi tak mahu mencari kesilapan diri aku sendiri.

Aku tak mahu dan tak berani berjanji untuk berubah, sebab sebelum ni dah banyak kali aku buat janji yang sama, tapi aku mungkiri semuanya. Aku kira kamu semua pun sudah bosan mendengar janji-janji kosong.

Aku cuma ingin katakan, yang aku sudah menyedari hakikat bahawa kita ni perlu terus bergerak ke hadapan.

Tak boleh terbang, berlari
Tak boleh berlari, berjalan
Tak boleh berjalan, bertongkat
Tak boleh bertongkat, merangkak
Tak boleh merangkak, mengengsot

(nukilan dan olahan oleh penulis sendiri. konon karyawan habis. poorah! tapi mesejnya, faham-fahamkan sendiri ya.)

Aku? Buat masa ini aku masih mengengsot dan merangkak. Tapi ku kira itu lebih baik daripada aku diam tidak bergerak.

Kawan-kawan, mari bergerak ke hadapan. Jangan buat perangai macam yang aku dah buat.


No comments:

Post a Comment