Saturday, December 8, 2012

Politik #1




Masih jelas di ingatan 4 tahun lepas ketika Pilihanraya Umum berlangsung. Saya yang sehingga detik itu tidak begitu mengambil peduli selok belok politik negara mula mengambil tahu perkembangan terkini politik negara di ketika itu. Terima kasih kepada salah seorang kawan rapat saya yang hidup matinya kerana politik, dialah surat khabar bergerak saya. Heh. Dan terima kasih juga kepada sahabat yang satu ini, saya menjadi penyokong parti pembangkang. Andai saja keizinan untuk pelajar guru berpolitik diberikan pada ketika itu, pastinya saya akan terus bergiat dalam politik tanpa berlengah. 

Tapi, entahlah. Sekarang ini saya lebih rela untuk tidak memihak pada sesiapa. Kerana saya tidak menemukan semangat untuk merubah hala tuju negara ke arah yang lebih baik pada mana-mana pihak pun. Sepertinya mereka lebih berminat untuk mengisi tembolok masing-masing. Sepertinya mereka cuma berminat untuk mengurus benda yang remeh temeh. Saya tidak peduli siapa pun yang meragut teruna Saiful Bukhari, yang saya peduli adalah usaha untuk memperbaik taraf hidup rakyat biasa seperti kita! 

Kerana itu sehingga saat ini saya masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Untuk apa mengundi pihak yang saya tidak percayai kemampuannya? Biarlah tindakan saya dipertikai. Saya pun pernah dicop sebagai 'tiada pendirian' kerana pendirian saya ini. Lebih baik saya jadi lalang daripada menyokong membuta tuli, kan? 

Dan, siapa kata saya tidak boleh berbakti pada negara andai saya tidak mengundi? Banyak lagi cara yang ada untuk saya selain mengundi. Buat masa ini saya memilih untuk menabur bakti dengan menumpukan perhatian pada 'anak-anak' saya di Pensiangan sana. Segala puji bagi Tuhan yang dengan izin dan takdirNya telah menjadikan saya seorang guru. 

Sehingga saya menemukan semangat memperjuangkan nasib rakyat tanpa prejudis dalam mana-mana parti politik yang ada di Malaysia, saya tidak akan mendaftarkan diri sebagai pengundi. Biar saya kekal sebagai nonpartisan. Lagipun, kesetiaan itu mahal harganya. 




Tuesday, November 27, 2012

Puisi - Cinta?



Aneh.
Sudah lama aku tidak merasa perasaan sebegini.
Bintang di langit ku lihat lebih gemerlapan.
Bulan ku lihat lebih terang bersinar.
Seluruh alam bagai terhenti seketika.
Malam-malamku penuh mimpi dia dan aku.
Wajahnya terbayang-bayang di mata.
Namanya terpahat kukuh dalam jiwa.
Celaka.
Cinta, kau datang lagi?


Saturday, November 3, 2012

Puisi - Cukuplah.



Sudah, cukuplah.
Jangan kau paksa aku mengikut acuanmu.
Butakah matamu untuk membezakan yang mana manusia dan yang mana patung yang tiada bernyawa?
Kaburkah deria penglihatanmu sehingga aku kau pandang seperti robot yang menunggu arahan tuannya?

Sudah, cukuplah.
Jangan kau letakkan maruah aku ke tahap yang serendah itu.
Maha Suci Tuhan, Yang Menciptakan kita hampir serupa namun sebenarnya sangat unik dan berbeza.
Tenung wajahmu dalam cermin dan tanya dirimu, setarafkah kau dengan Dia Yang Maha Kuasa?

Sudah, cukuplah.
Jangan lagi libatkan aku dalam drama ciptaanmu.
Tinggalkan aku, biarkan aku bahagia, biarkan aku menerima diriku seadanya.
Dan kau,
teruskan sahaja dengan agendamu untuk kelihatan sempurna di hadapan semua.
Semoga saja suatu hari nanti Dia celikkan mata hatimu yang telah buta.
Dan semoga saja tidak terlalu lewat untuk kau bangun dari lena.




Saturday, October 27, 2012

nota kaki #1



ya, saya ingin bermula semula. 
sekian lama pena ini kaku tidak diangkat.
hasil proses pencarian diri, yang kadangkala membawa saya ke jalan mati. 
pencarian diri
yang terkadang menyesatkan saya di hutan kekeliruan,
yang membawa kepada pertanyaan,
siapa diri ini. 
sehingga kini, saya masih mencari. 
tapi yang pasti, menulis tetap menceriakan hati ini. 
biarpun tidak sehebat dulu, saya akan berusaha lagi. 





Gunting Dalam Lipatan, Duri Dalam Sekam, Musuh Dalam Selimut.

Sungguh saya tidak faham sesetengah orang. Agaknya apa yang diorang ni fikirkan setiap kali bangun pagi? Bangun-bangun pagi, buka mata, terus terfikir untuk cari silap orang lain? Entahlah, tapi hidup ni rasanya tidak sahlah kalau tidak kenal sekurang-kurangnya seorang dua yang perangai haram jadah macam ni. Kerjanya lain tiada, mengumpat orang, mencari silap orang. 

Lagi sakit hati kalau saudara sendiri yang buat macam tu pada kita. Saudara sendiri. Sakit. 

Tapi, dari pemerhatian saya, kehidupan orang yang kuat mengumpat ni pun bukanlah best sangat. Maksud saya, diorang ni pun rasa hidup diorang entah apa-apa. Untuk elakkan orang nampak cacat cela hidup diorang, diorang pun tuding jari pada cacat cela orang lain. Saya tahu sebab kadang-kadang saya pun macam tu. Mengumpat orang sebab dengki. Minta dijauhkan dari terus berperangai begitu. Nauzubillahiminzalik. 

Apa pun, apa yang kita dapat dengan mengumpat? Syok memang syok (kalau tidak syok takkan orang buat), tapi selama mana? Syok dapat, tapi dosa pun dapat. Dosa satu hal. Mengumpat orang lain adakah akan menjadikan kehidupan kita lebih baik? Mengumpat orang, duit simpanan bertambahkah? Mengumpat orang menjadikan kita lebih pandaikah? Lagipun, nanti tidak pasal-pasal kita popular, bukan sebab pandai berlakon atau apa, tapi sebab mulut yang tidak dijaga. Lebih banyak rugi daripada untung. 

p/s ya, ini entri melepas geram.